Saturday 14 February 2015

Aku rindu TGNA

12.02.2015 - Khamis, jam 10.00 malam.

Rakan rumah ketuk pintu bilikku. Seorang temanku buka.

"Tuan Guru Nik Aziz meninggal!" katanya.

Bergegar jantung. Terus aku bangun, ambil handphone dan duduk menghadap laptop. Facebook dibuka. Dan di ruang timeline, penuh dengan ucapan takziah, doa untuk TGNA dan ucapan al-Fatihah (bacalah surah ini sehabisnya dan niatkanlah untuk TGNA dan umat Islam seluruhnya).

Aku terpempan. Kosong. Tidak menangis. Cuma mengelamun untuk sedetik dua.

Teman rumahku membuka TV. Seperti biasa, saluran 501 menjadi pilihan. Dari kejauhan aku mendengar sayup,

"Terkini. Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat telah meninggal dunia pada jam 9:40 malam tadi."

Sayu hati ini. Tapi masih lagi tidak menangis. Hati ini seperti sengaja untuk tidak mahu memahamkan dan menafikan apa yang didengar oleh telinga, dilihat oleh mata. Tiada sebutir kata yang keluar dari mulutku. Diam. Sunyi.

Yang sibuk bekerja saat itu ialah mata dan jari tanganku. Timeline Facebook dibaca satu persatu. Demi mencari sebuah kebenaran yang nyata. Kerna ini bukan kali pertama mendengar perkhabaran perginya Tuan Guru. Ramadhan lepas juga menerima berita yang sama. Tetapi akhirnya disahkan palsu. Dan itulah yang sedang kulakukan, sibukkan diri mencari-cari, kalau-kalau ada yang mengesahkan berita yang baru aku terima sebentar tadi adalah palsu. Malangnya tiada. Satupun tiada.

"Benarkah ini wahai ALLAH?" terdetik kecil di hatiku.

Semakin sayu dan syahdu hatiku ini. Tetapi akalku tidak mengizinkan mataku untuk mengalirkan sebutir pun air mata. Tertahan ia hanya di kelopak mata sahaja. Bimbang. Bimbang disalah erti oleh teman serumah. Kerna akalku tidak dapat bekerja dengan baik saat itu, terutama sekali untuk menjawab sebarang persoalan tentang "kenapa aku menangis?" Jadi, aku biarkan dulu ia tersimpan.

Supaya tidak lupa, aku titipkan beberapa nota di timeline Facebook ku. Beserta gambar insan yang selalu dirindu.

"ALLAHu.. Moga ALLAH berkati, rahmati dan tempatkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama-sama hamba-hambaNYA yang soleh.

Sudah dijangka perginya pasti pada hari mulia. Jam 9.40 malam, hari Jumaat. Moga ketentuan yang baik buat almarhum Tuan Guru.

Dari ALLAH kita semua datang, dan kepada DIA jualah kita semua kembali. Perginya seorang ulama' besar, petanda Qiyamat semakin hampir. ALLAHu..  feeling sad."


Perlahan surah al-Fatihah dibacakan. Hati ini makin sayu. Saat ini, aku hanya berupaya mengungkapkan air mata melalui tulisan tanganku dan lakaran khatku sahaja. Kerana aku masih bimbang.

Lewat jam 1.00 pagi, kupaksakan tidur. Kerna aku mahu bangun awal. Mahu mengadu duka dengan Tuhanku. Semoga lebih tenang.


13.02.2015 - Jumaat, jam 8.30 pagi.

Hari ini Johor cuti. Tetapi tidak buat teman-teman rumahku. Pulang dari menghantar temanku ke sekolahnya, saluran 501 dibuka. Sempat intai saluran 103 (kerana biasanya saluran ini paling kedepan menongkah arus berita, kononnya), tetapi seperti biasa, menghampakan.

Sambil mulut mengunyah sarapan, mata dan telinga ligat memandang dan mendengar butir berita yang disampaikan. Menunggu sebarang update. Jam di dinding kerap dilihat, menanti waktu 10.00 pagi. Saluran 501 tika itu, seperti biasa, berbincang akademik, menemubual bicara bersama beberapa orang tokoh tentang keperibadian, pencapaian, kejayaan dan semuanya tentang kebaikan Tuan Guru.

Tetapi aku tidak senang duduk. Kerana bukan itu semua yang mahu aku tahu. Keperibadian, pencapaian, kejayaan dan semuanya tentang kebaikan Tuan Guru itu lama dulu aku tahu. Aku mahukan update terkini suasana di Pulau Melaka, tempat tinggal semasa hayat Tuan Guru, juga tempat yang bakal disemadikan jasadnya.

Belum habis sarapanku dijamah, aku terus duduk menghadap laptop. Facebook dibuka.

Ya, saat itulah air mataku yang tertahan sejak semalam, berderaian jatuh. Tiada henti. Terima kasih buat teman-teman Facebook yang update status tentang suasana keberadaan di Pulau Melaka. Terima kasih juga buat yang berkongsi gambaran wajah Tuan Guru. Aku bersyukur tiada sebarang gambar jenazah Tuan Guru yang dibenarkan diambil. Kerana aku tidak mahu langsung memori akalku menyimpan gambar-gambar seperti itu.

Aku hanya mahu mengingat dan mengimbau gambar-gambar Tuan Guru yang sedang tersenyum kepadaku. Supaya Tuan Guru sentiasa hidup di dalam sanubari hatiku. Supaya nanti dapat aku bercerita pada anak-anak generasiku tentang keberadaan dan kehidupan mulia yang dipilih Tuan Guru. Langsung airmataku berderaian keluar tanpa henti, tanpa malu, tanpa bimbang.

Ya, aku menangis. Menangis yang teramat. Lebih lagi dukanya daripada saat mengetahui perginya al-Marhum Tuan Presiden, Ustaz Fadhil Noor suatu ketika dahulu. Kerana saat itu Tuan Guru masih ada. Masih boleh memimpin dan membimbing kita. Tetapi kini?

Ulama' itu pewaris Nabi dan Rasul. Nabi dan Rasul - memang bukan rezeki kita untuk berjumpa dan berhidup dengan mereka. Tetapi apabila pewaris Nabi dan Rasul juga pergi meninggalkan kita, maka kesedihan apakah yang lebih teruk daripada itu? Ya, aku menangis. Sunguh-sungguh aku menangis.

Benar. Masih ramai lagi ulama' dan ilmuwan agama di luar sana. Tetapi yang paling hampir menyamai RasuluLLAH S.A.W. itu tika ini, di dalam kerangka budaya kehidupan kita kini, apakah bukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat?

Tuan Guru seorang Menteri Besar, memimpin Kelantan - sebagaimana RasuluLLAH S.A.W. dahulu seorang Ketua Negara, memimpin Madinah. Tuan Guru adalah sosok utama yang menjadi rujukan jika berlaku apa sahaja kekeliruan agama, sebagaimana juga RasuluLLAH S.A.W. suatu ketika dahulu. Dan apabila Tuan Guru pergi meninggalkan kita, maka kesedihan apakah yang lebih teruk daripada itu?

Aku terus-terusan menangis. Mengenangkan bagaimanalah nanti akan aku ceritakan kepada anak-anak generasiku tentang Tuan Guru, supaya nanti mereka boleh menjadikan Tuan Guru sebagai idola ikutan mereka. Berjayakah aku? Aku menangis lagi.

Aku dan adik-adikku - kami membesar dengan nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, al-Marhum Ustaz Fadhil Noor dan beberapa ikon lagi. Sebagai seorang anak kecil, walaupun tidak mengenali dan memahami dengan baik ketika itu, tetapi insan-insan ini secara luarannya sahaja sudah menggambarkan mereka ialah insan yang baik-baik. Dan ternyata ini sangat mendorong anak-anak kecil itu untuk memilih menjadi insan yang baik juga suatu masa nanti. Terima kasih buat ummi dan abiku. Kerana membesarkan kami dengan nama-nama insan hebat ini. Bagaimanalah anak-anakku nanti? ALLAHu.. aku menangis lagi.

Dan yang paling tidak tertahan tangisku ialah apabila mengenangkan betapa sukarnya untuk menjadi insan yang baik. Sangat, sangat, sangat memerlukan mujahadah yang tinggi. Juga amat, amat, amat memerlukan orang-orang yang baik berada di sisi. Sebagai penasihat, sebagai penegur, sebagai pengingat, sebagai pakar rujuk.

Tetapi wahai ALLAH, apabila Engkau mengambil orang-orang yang baik ini, apakah ini petanda untuk aku lebih kuat untuk bermujahadah menjadi hamba yang baik kepadaMu? Sungguh, aku tidak kuat wahai ALLAH, bantulah aku dan mereka. Bantulah kami untuk berhidup dengan lebih baik dan menjadi hambaMu yang diredhai.

Kerana kami semua akan mati. Biarlah pengakhiran hidup kami wahai ALLAH, di dalam kebaikan yang nyata. Akanku selalu ingat pesan Tuan Guru,

"Buatlah segala daya upaya untuk memenangkan Islam di muka bumi ini sebelum pergi bertemu ALLAH."



In shaa ALLAH, dengan izin Tuhanku, akanku cuba segala daya upaya untuk me'menang'kan Islam dalam apa jua cara sekalipun sebelum aku pergi kembali menghadap Dia Yang Esa. Bantulah dan permudahkanlah wahai ALLAH.

Terima kasih Tuan Guru atas segala jerih payah, penat lelah, suka duka, susah senang dalam mendidik dan mengenalkan kami dengan lebih dekat kepada agama dan Tuhan Pencipta kami. Semoga ALLAH mengampunkan segala dosa Tuan Guru. Dan semoga ALLAH mengganjarkan syurga yang tertinggi buat Tuan Guru. Bergembiralah Tuan Guru di sisi Tuhan dan Rasul yang sentiasa dirindui. Moga bersua kita kelak, in shaa ALLAH.

Dan lagi, apabila mengenangkan Qiyamat itu semakin hampir, aku terus hanyut di dalam airmata kasih. Sungguh! Aku rindu TGNA. Dan sungguh! Aku juga rindu RasuluLLAH S.A.W. Al-Fatihah buat mereka berdua.


Al-Fatihah.

No comments: