Tuesday 17 March 2015

Hadiah SYUKUR

Petang yang hening. Meluncur tenang sebuah kereta Perodua Kancil 850 berwarna silver, seperti ketahuan dia akan jalan pulang. Tangan si tuan melekap kejap di bulatan stereng, kakinya pula menekan santai paddle klac dan minyak silih berganti, paddle brek cuma kadang-kadang menjadi pilihan.

Pun begitu, akalnya ligat berfikir tentang sesuatu. Hajat di hati untuk menambah pekerja di butiknya sudah sangat lama disimpan. Dia berkira-kira di dalam hati. 

"Nanti kalau sudah ada pekerja, aku ingat nak bagi dia guna Kancil ni lah."
"..tapi nak ke dia? Kereta lama lah katakan.."
"Tak apa. Aku cari pekerja yang suka, boleh jaga dan sayang kereta Kancil ni macam aku."

Dia bermonolog sendirian. Kereta Kancil itu ialah kereta yang dibelinya beberapa bulan yang lepas dengan menggunakan hasil titik peluhnya mengusahakan bisnes pakaian. Kereta itu dibeli dengan tujuan untuk digunakan sebagai pengangkutan bagi segala urusan yang melibatkan perniagaannya itu.

Tiba-tiba dia tersentak.

"Padanlah!"

Kemudian, dengan segera dia melajukan keretanya supaya dapat dia sampai ke rumah dengan lebih awal. Setelah sampai di rumah, kelibat sahabat baiknya dicari terlebih dahulu. Penuh semangat dia bercerita tentang peristiwa monolog yang dialaminya sebentar tadi. 

"Kan Shuha kan?"
"Kita sendiri pun lebih senang hati untuk berikan sesuatu kepada orang yang akan terima pemberian kita itu dengan penuh rasa gembira dan berterima kasih yang amat. Malahan, kita dengan sendirinya pasti suka untuk sentiasa memberi, beri lagi, dan lagi pada orang yang sebegitu."
"Bukan sebab kita gilakan pujian. Tetapi ada suatu perasaan gembira bila itu yang berlaku. Padanlah.."

Perbualan mereka terhenti dengan senyuman lebar yang terukir kemas di bibirnya. Shuha pula memandang sahabat baiknya itu dengan penuh kasih sayang, juga dengan senyum yang mekar kegembiraan. 

Kedua-dua sahabat baik itu kini lebih mengerti dan memahami dengan baik maksud di sebalik ayat ke-7 daripada surah Ibrahim. 

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Kita sebagai hamba juga punya perasaan yang gembira bila segala pemberian kita dihargai, apatah lagi Tuhan kita Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itu. Masakan tidak! Kerana kegembiraan itu Dia firmankan di dalam kitabNya sebagai menguatkan lagi tentang itu. 


Jadi, tidak mahukah kita menjadi hamba yang bersyukur?

No comments: