Tuesday 11 November 2014

Bertanya ALLAH Dulu

Assalamu'alaikum dan Selamat Sejahtera semua. Semoga sentiasa sihat hendaknya rohani dan jasmani kita. =)

Karya sulung Writeritory.com

Semalam, selesai sudah saya membaca e-book sulung daripada Writeritory.com. 'Bertanya ALLAH Dulu- Di Sebalik Tabir Writeritory'. Ianya merupakan hasil tulisan idea daripada adinda Insyirah Azhar yang sentiasa di dalam pandangan ALLAH, in shaa ALLAH. =)

Apa yang terkandung di dalam penulisan e-book ini ialah berkenaan bagaimana kita sebagai hamba yang lemah, mampu untuk berhidup dengan sangat baik apabila semua urusan hidup kita ini kita dahulukan dengan bertanya atau merujuk pada DIA. Bertanya Tuhan? Bagaimana?

Ya, sudah pasti ianya memerlukan kekuatan dalaman yang jitu. Kekuatan dalaman yang perlu kita asah tajamkan. Juga disertakan adab dan cara yang betul bagaimana kita mahu bertanya dengan ALLAH akan segala aspek kehidupan yang kadangkala menyesakkan dan melelahkan.


Pengalaman sendiri bertanya Tuhan

Dan apa yang lagi menarik ialah, saya pernah mengalami sendiri pengalaman bertanya dulu dengan Tuhan ini. Ya, dua kali saya mengerjakan umrah hanya berbekalkan dengan 'bertanya ALLAH dulu'.

Pertama kalinya ketika usia saya 16 tahun (tingkatan 4 ketika itu). Saya masih ingat saat itu saya baru sahaja selesai menunaikan fardhu Maghrib. Hati saya ini serasa rindu yang teramat sangat. Detik hati saya kuat menyeru 'Aku nak ke rumahMU wahai ALLAH, aku rindu.'

Kemudian, saya bangun menunaikan solat hajat dua rakaat. Dan ketika sujud yang terakhir, saya merintih meminta padaNYA. Hanya merintih dan meminta. Merintih dan meminta, tanpa langsung memikirkan bagaimana, dengan siapa, bila untuk saya ke sana. Langsung tidak. Tidak sesekali. Hanya merintih dan meminta, penuh yakin ALLAH akan makbulkan.

Ajaibnya, pada keesokan hari, saya menelefon abi. Dan perkataan pertama yang ditanya, "Akak nak pergi umrah tak?" Saat itu, berguguran airmata saya tanpa henti dan langsung saya berterima kasih padaNYA. Terima kasih wahai ALLAH.

Dan kali keduanya pula ialah ketika usia saya 26 tahun. Semasa saya menyambut hari kelahiran saya yang ke-25 tahun (setahun sebelumnya), saya berkomunikasi dengan Tuhan.

"Aku sudah suku abad. Ya ALLAH, Kau panjangkan usiaku agar aku boleh menjejakkan kakiku kembali ke rumahMU. Mekah, 2013 aku menujumu. Ameen."

Dan hajat itu saya tuliskan di atas gambar berlatar belakangkan Kaabah dan saya jadikan cover photo Facebook saya.

Dan alhamduliLLAH, pada tahun berikutnya saya ke sana lagi. Kali ini lebih ajaibnya, kerana saya memang sedari awal telah berbisik dengan Tuhan yang saya hendak ke Mekah dengan sahabat baik saya, Wan Nur Shuhada (Annur). Jika difikirkan logik, memang tidak. Kerana semua maklum, untuk ke Mekah sebagai seorang perempuan, adalah mustahil berseorangan. Kita perlu membawa bersama muhrim lelaki yang boleh menjaga kita sewaktu di sana.

Jadi, setidak-tidaknya jika saya mahu ke sana bersama sahabat baik saya itu, minimum orang yang diperlukan ialah 4 orang. Saya dan muhrim saya, serta sahabat saya dengan muhrim dia. Dan itu sudah pasti membelenggu saya kerana kewangan ketika itu hanya mampu untuk menanggung dua individu sahaja.

Tetapi, itu semua tidak sesekali menjengah ke dalam kotak pemikiran logik saya. Langsung tidak. Apa yang saya tahu, pada tahun itu saya akan ke Mekah bersama-sama dengan sahabat baik saya itu. Bila, bagaimana, dengan siapa, semua itu saya tolak tepi. Saya hanya serahkan urusan itu bulat-bulat pada DIA. Kerana jika hendak difikirkan, memang tidak mampu sama sekali. Jadi, saya hanya serahkan pada DIA dan saya hanya menjalankan rutin harian saya seperti biasa.

Kemudian, pada satu hari, saya terima emel daripada abi. Kontennya ialah gambar promosi Umrah Ihsan, yang mana kos yang diperlukan cuma hanya RM3700 per individu. Dan ianya terbuka untuk warga kerja Proton Berhad (tempat abi saya mencari nafkah) dan keluarga. Sekali lagi abi bertanya, "Akak nak pergi tak? Abi belanja." ALLAHu.. apa agaknya respon saya?

Kemudian, saya langsung teringatkan sahabat saya. Bagaimana dia boleh ikut serta dalam pakej Umrah Ihsan itu? Lantas saya bertanya abi. Kemudian, abi bertanyakan pula pada pengelola. Jawapan belum lagi diterima.

Saat itu, sahabat saya, dia seakan berduka kerana tawaran itu hanya dibuka buat warga kerja Proton Berhad dan ahli keluarga terdekat sahaja. Hampir dia berputus asa. Pesan saya padanya, agar dia tidak putus berdoa dan tanamkan sedalam-dalam keyakinan di dalam hatinya yang dia juga akan diterima untuk ikut sama pakej Umrah Ihsan itu.

Dan ternyata, ianya membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka. Di saat-saat akhir, pihak pengelola menelefon saya untuk bertanyakan sahabat saya, sama ada dia masih berminat untuk turut serta atau tidak kerana ada beberapa individu yang menarik diri atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Saat itu, saya terus tersenyum memandang ke langit dan berkata, "Terima kasih wahai ALLAH."

Pada asalnya, saya hanya minta padaNYA untuk ke Mekah bersama-sama sahabat baik saya. Pada hemat pemikiran saya, mungkin cuma berempat. Tetapi, pengakhirannya kami ke sana 11 orang semuanya. Saya berempat dengan abi sebagai muhrim dan dua orang lagi adik perempuan saya. Sahabat baik saya pula bertujuh dengan abahnya sebagai muhrim, umminya, kakak dan abang iparnya, abang dan mertua abangnya. Dan segala kos pula ditanggung penuh oleh muhrim kami masing-masing. Jadi, duit yang terkumpul kami bawa untuk buat belanja lain-lain. Ajaib sungguh! =)


Terima kasih wahai ALLAH & Insyirah

Dan apabila saya membaca e-book Bertanya ALLAH Dulu (BAD) ini, langsung pengalaman itu segar kembali di ingatan. Terima kasih wahai ALLAH.

Cuma saya terfikir, mengapa pengalaman BAD ini tidak saya implemenkan di dalam setiap aspek kehidupan saya, bukan cuma untuk ke Mekah sahaja. Dan saya mengakui apabila hendak mengimplemenkan konsep BAD ini di dalam aspek-aspek lain kehidupan, fikiran logik selalu sahaja datang mengganggu gugat 200% keyakinan pada DIA. AstaghfiruLLAH al-'aaziim..

Justeru, selepas saya membaca e-book ini, saya terpukul dengan syarat BAD yang ke-3, 'Jangan guna otak'.
"Untuk mendekati ALLAH, tidak perlu guna logik akal. Segalanya tertakluk kepada keyakinan hati."- Insyirah Azhar.

Terima kasih wahai adindaku Insyirah Azhar, kerana dengan penulisanmu ini, kekandamu ini lebih tahu bagaimana untuk mengimplemen dengan baik konsep BAD ini di dalam kehidupan secara keseluruhannya. Semoga setiap usahamu ini dinilai DIA dengan sebaik-baik ganjaran. Ameen.


WaLLAHu a'lam. Hadza min fadhli Rabbi (pinjam daripada Insyirah Azhar). =)


PERHATIAN: Jika berminat untuk mendapatkan e-book BAD ini, boleh terus ke link ini ya- https://www.facebook.com/writeritory


Assalamu'alaikum W.B.T.



Believe yourself, have faith in ALLAH~~

No comments: