Monday 10 November 2014

Ampunkan daku wahai ALLAH..

Assalamu'alaikum W.B.T. dan Selamat Pagi. Apa khabar iman kita hari ini? Semoga sentiasa bertambah baiklah ia.

Hampir sebulan tiada sebarang update. Malam tadi, berlaku sesuatu membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi di sini.

Malam tadi..

Hati saya ini tidak tenteram. Resah gelisah. Seperti rasa akan kehilangan sesuatu. Sesuatu yang amat-amat diharapkan setelah sekian lama. Dan rasa itu pula ditambah lagi dengan rasa cemburu, rasa rendah diri, rasa gagal, dan rasa-rasa lain yang tidak enak, kerana yang hilang itu bakal dipunyai oleh orang yang lain. Yang pada tanggapan saya yang amat-amat terbatas ini, orang yang lain itu lebih baik, lebih cemerlang, lebih bagus dan segala-galanya lebih daripada diri saya ini.

Lantas, saat saya hampir tersungkur itu, saya kembali istighfar. AstaghfiruLLAH al-'Aaziim..

"Kau kenapa Nabiilah? Kenapa kau? Apa kau lupa? Setiap sesuatu yang berlaku, walau cuma sebesar zarah atau lebih kecil daripada itu, semuanya atas kehendak DIA. Atas kehendak DIA. Hanya DIA. Jika kau hilang sesuatu, itu juga kehendak DIA. Apa kau lupa?"

AstaghfiruLLAH al-'Aaziim.. Ya saya terlupa. Semua yang berlaku itu, semuanya hanya atas kehendak DIA. Kenapa perlu saya berasa bimbang akan kehilangan sesuatu jika kehilangan itu atas kehendak DIA? Kenapa perlu saya berasa resah gelisah, tidak tenteram, jika kehilangan itu atas izin daripada DIA?

Sungguh, jika itu yang saya rasa, saya seperti sedang mempersoalkan kekuasaan dan kebesaran DIA.

AstaghfiruLLAH al-'Aaziim..
AstaghfiruLLAH al-'Aaziim..
AstaghfiruLLAH al-'Aaziim..

Ampunkan daku wahai ALLAH. Sungguh! Sungguh bukan itu yang aku maksudkan. Aku hanya hambaMU yang sangat-sangat lemah lagi dhaif. Ampunkan hambaMU ini wahai ALLAH Yang Maha Pengampun. Ampunkan daku juga wahai ALLAH kerana barangkali aku terlupa kalamMU..

"...Boleh jadi kamu benci sesuatu padahal ia baik untuk kamu. Boleh jadi kamu suka sesuatu padahal ia buruk untuk kamu. Dan ALLAH jualah Yang Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui..." (Al-Baqarah: 216)

AstaghfiruLLAH al-'Aaziim.. Ampunkan daku wahai ALLAH. Bimbinglah diriku yang lemah ini. Aku sedang belajar menjadi hambaMU yang hanya mendambakan kasih dan cinta daripadaMU. Aku sedang belajar meletakkan KAMU yang paling tertinggi di dalam hati dan keseluruhan hidupku. Bantulah daku dan bimbinglah hambaMU ini wahai ALLAH. Aku lemah tanpaMU. Aku kuat denganMU.



Doakan saya teman-teman. Saya juga doakan yang terbaik buat kalian semua. Semoga kita semua sama-sama ingat mengingatkan pada jalan menuju DIA. Semoga diredhai. Aameen.


Assalamu'alaikum W.B.T.



AstaghfiruLLAH al-'Aaziim.. Ampunkan daku wahai ALLAH~~

No comments: