Wednesday 15 October 2014

Mereka..

Assalamu'alaikum dan Selamat Sejahtera. =)

Pagi semalam, bertubi-tubi bunyi notifikasi dari aplikasi Whatsapp masuk ke telefon bimbit saya. Saya lihat ke arah jam. 0845. "Siapa?" dalam hati terdetik. Dengan pantas jari saya meleret skrin telefon bimbit dan membaca mesej. 

"Assalamualaikum.."
"Maksu nak kongsi sikit"
"Pasal Paksu Mie"
"Paksu Mie da mula belajar mengaji semula"
"Dan mula nak solat"
"Tolong doakan Paksu yer"

ALLAHu Akbar! AlhamduliLLAH, syukur ya ALLAH. 

Ternyata mesej daripada Maksu saya tadi itu cukup menggembirakan hati saya sehingga saya berulang kali membacanya. Ulang lagi, ulang lagi dan ulang lagi. Di satu sudut hati saya yang paling dalam, saya sangat gembira dan sangat bersyukur padaNYA. AlhamduliLLAH, terima kasih wahai ALLAH.

Berita apakah yang lebih menggembirakan selain daripada mendapat tahu yang saudara terdekat kita sudah mula kembali mencari Tuhan? Sudah mula mencari redha ILAHI di dalam kehidupan sehari-harinya. Sungguh, saya sangat gembira!

Gembira kerana ianya menjadi peringatan demi peringatan buat diri yang lemah ini. Bila mula melihat orang lain bersungguh-sungguh mahu kembali pada ALLAH, saya serasa terpukul. Kerana apa? Kerana saya memang telah dilahirkan di dalam keluarga yang memang mementingkan jalan ini. Jalan hidup berTuhan. Tetapi selama bertahun-tahun saya hidup, saya seperti tidak ke mana. Saya masih di jalan dan takat yang sama sepertimana saya berada pada 10 atau 20 tahun dahulu. 

Dan tika ini, ketika umur saya menjejak angka 27, terlalu banyak perkara atau ilmu yang saya baru pelajari. Tentang ALLAH, tentang Islam, tentang kehidupan, tentang menjadi hamba. Semuanya. 

Semua ini saya pelajari apabila melihat orang-orang di sekeliling saya yang bersungguh-sungguh mencari Tuhan dalam kehidupan mereka. Terutama mereka yang bukan asalnya seorang yang hidup di jalan menuju Tuhan sepenuhnya. Dan juga bukan berasal daripada keluarga yang mengamalkan cara hidup berTuhan.

Mereka inilah pendorong saya untuk terus belajar dan memperbaiki diri dengan lebih tekun. Belajar untuk mengenal Tuhan, belajar mengenal diri sendiri sebagai hamba, belajar mengamalkan Islam di dalam hari-hari saya, belajar tentang menghargai hidup dan orang di sekeliling saya, belajar meninggalkan kebiasaan saya yang dahulu yang tidak baik untuk kehidupan saya, belajar untuk menjauhkan diri daripada perkara yang tidak membantu saya dalam mencari Tuhan saya, dan terlalu banyak yang saya belajar. Terlalu banyak. 

Terima kasih wahai ALLAH. Terima kasih kerana KAMU hadir di dalam diri setiap mereka ini. Bila melihat mereka, ianya langsung mengingatkan diriku padaMU. Terima kasih kerana KAMU masih memberi diri ini peluang untuk memperbaiki segalanya dan kembali mencariMU. Terima kasih wahai ALLAH. Terima kasih.

"Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri." (Ar-Ra'du: 11)

Doakan Paksu Azmi saya teman-teman. Doakan saya juga. Saya berdoa supaya segala kebaikan yang kalian doakan buat kami akan kembali pada kalian dalam keadaan yang lebih baik. Semoga ALLAH memperkenankan permintaan kita semua, Aameen.

Ini gambar Paksu Azmi & Maksu Hajar saya. =)



Terima kasih ALLAH atas segala yang Kau kurniakan di dalam hidupku. Aku sedang belajar menjadi hambaMU yang bersyukur. Semoga dipermudahkan~~

No comments: