Monday 6 October 2014

Google Street View dan 'Waktu Itu'

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.


Jumaat lepas, saya singgah di rumah teman untuk tumpang solat Maghrib, selepas teruk tersadai di dalam traffic jammed yang menggila di sekitar KL dan PJ. Sejurus menjejakkan kaki ke dalam rumahnya, saya perhatikan teman saya dan rakan-rakan serumahnya sedang khusyu' melihat aplikasi terbaru dari syarikat Google-  Google Street View.



Saya tumpang sekaki. Dan sungguh! Saya memang kagum dengan teknologi itu. Seperti jua teman saya dan rakan-rakan rumahnya yang lain. Masing-masing mula berbincang sesama sendiri. Saya terpaksa meninggalkan perbincangan itu kerana saya belum solat Maghrib.



Seusai solat Maghrib, fikiran saya melayang seketika. Kembali memikirkan tentang aplikasi yang baru saya lihat sebentar tadi. Kekaguman saya kembali subur. Sungguh saya kagum dengan ciptaan yang satu itu. Lama kemudian, saya tersentak.



SubhanALLAH! MashaALLAH!



Saya teringat dengan cerita Ustaz Ustazah saya masa di bangku sekolah dahulu.

"..Nanti selepas kita semua dibangkitkan dari kematian, kita akan dipertontonkan semula kehidupan kita bermula dari kita lahir hingga kita meninggal dunia.."
Dulu, saya tak dapat bayang bagaimana teknologinya untuk mempertontonkan itu semua semula. Tetapi berbekalkan iman yang senipis kulit bawang, kepercayaan yang rapuh, saya beriman bahawa kuasa ALLAH itu di luar jangkauan kita sebagai manusia.


Tetapi hari ini, dengan segala bentuk teknologi yang telah wujud, yang diwujudkan oleh manusia, yang mana manusia itu sendiri telah diciptakanNYA, kepercayaan saya yang dahulu rapuh kini semakin teguh.



Ya, semakin teguh! Semakin kuat kepercayaan saya bahawa 'waktu itu' semakin hampir. Kerana sedikit demi sedikit gambaran 'waktu itu' semakin jelas. Semakin tidak dapat diragukan. Semakin tidak dapat disangkal lagi.



'Waktu itu'? Ya, 'waktu itu'. Waktu di mana kita semua akan dibangkitkan semula untuk dihisab segala amal dan perbuatan kita semasa hayat di muka bumi ALLAH ini.



SENTAP!



Sungguh saya sentap! Kerana apa? Kerana jika esok ialah 'waktu itu', atau lusa, atau dua hari lagi, atau seminggu lagi, atau sebulan lagi, atau setahun lagi, atau mungkin hari ini, saya malu. Malu untuk dipertontonkan semula setiap apa yang telah saya lakukan sepanjang hidup saya ini. ALLAHu.

"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin." - AsSajdah, ayat 12. 

ALLAHu. Ampunkan hambaMU yang satu ini ya ALLAH. Begitu juga semua kenalan dan ahli keluarga hambaMU ini wahai ALLAH. Juga semua ummat Islam akhir zaman ini ya ALLAH. 

Ya, kami pendosa wahai ALLAH. Tetapi tidak sesekali kami ingin kembali menghadapMU sebagai pendosa. Cuma kami lemah, kami lalai, kami leka dan kami sering lupa. Ampunkan kami, bimbinglah kami, peganglah hati-hati kami ya ALLAH, agar kami tidak terlalu jauh dariMU, agar mudah hati kami bertaubat sejurus selepas kami berdosa, agar apabila kami jatuh tersungkur, tidak sukar bagi kami untuk kembali bangkit dan mencariMU.


Walaupun sebenarnya KAMU wahai ALLAH, perlu kami ingat selalu, di dalam setiap gerak nadi jantung kami. Ampunkan kami wahai ALLAH, ampunkan kami, ampunkan kami. Perkenankanlah ya ALLAH.



Semoga perginya kita semua di dalam pengakhiran yang baik. Aameen.



Assalamu'alaikum.




'Waktu itu' semakin hampir, bersediakah aku?~~

No comments: