Thursday 2 October 2014

Kembali menulis..

Assalamu'alaikum dan Selamat Pagi.

Semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayangNYA. Walau saban waktu, kita, kerap melakukan yang terlarang, lalai melakukan yang diperintah.

Serasa lama sungguh saya meninggalkan penulisan di blog. Bukan kerna sudah hilang minat, atau kerna sudah bukan trend. Tapi kerna tuntutan tanggungjawab yang semakin membesar dan keupayaan mengurus waktu tidak pula berkembang seiring dengannya.

Selepas melangkah keluar dari alam kampus, nah, cabarannya datang bertubi-tubi. Sekejap kita kuat, sekejap kita tersungkur. Sekejap kita nun jauh melangkau awan di atas, sekejap kita tenggelam jauh ke dasar bumi. Inilah hidup. Atau lebih tepat lagi, realiti hidup.

Dulu, masa muda belia remaja, hidup di bawah payungan ayah bonda. Tumpuan utama hidup hanya belajar, belajar, dan belajar, sehingga pandai. Kini, setelah membesar dewasa (belum tua), masih lagi menumpang hidup di bawah payungan ayah bonda, tetapi tumpuan utama hidup itu mencapah-capah. Sudah pasti rutin hidup itu berubah. Dan disebabkan itu, aktiviti-aktiviti lapang semasa di kampus dulu terpaksa di-anaktiri-kan. Menulis di blog termasuklah salah satu daripadanya.

Tetapi, bila mula biasakan diri menoleh ke masa lampau, kemudian menghalusi kembali tujuan ALLAH menciptakan diri ini, dan merenung masa depan ke mana kita mahu menghalakan pengakhiran hidup kita nanti, saya terpanggil untuk kembali menulis. Ya, memang berat. Tetapi digagahkan juga apabila mengingatkan kata-kata Imam Hassan al-Banna:

"..Aku tidak tahu mana satu amalanku yang diterima ALLAH.." 

Nah, itu Hassan al-Banna, yang buku himpunan zikir al-Ma'thurat hasil tangannya diamalkan jutaan billion umat. Aku?

Mudah-mudahan, dengan kembali menulis, berkongsi ilmu, berkongsi pengetahuan, berkongsi pengalaman, ada sedikit pahala dapat saya beroleh daripadanya. Dan sudah pasti, penulisan kali ini ada bezanya jika dibandingkan dengan penulisan saya terdahulu. Kerna usia, pengalaman dan pengetahuan hidup itu mengubah individu. Pun begitu, saya masih mengekalkan beberapa penulisan saya yang lama untuk tatapan dan bacaan umum. Pun begitu juga, ada beberapa penulisan yang saya terpaksa buang demi menjaga sensitiviti dan perasaan lebih ramai pembaca. Dulu saya muda. Tahu-tahu sahajalah orang muda bagaimana. Hee..

Semoga usaha kecil saya ini dinilaiNYA. Doakan saya teman-teman. Saya doakan kalian juga. Moga sentiasa diredhaiNYA. Aameen.

Assalamu'alaikum.



Dengan kembali menulis, aku mencari redhaMU wahai ALLAH, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang~~

No comments: