Tuesday, 27 November 2007

Kuasa Agung

Cinta.. Cinta.. Cinta..
Ungkapan ini tidak asing lagi dalam diari kehidupan seorang manusia terutama yang bergelar remaja dan belia. Cinta dianggap sebagai satu kemestian yang kalau tidak ada maka hilanglah satu nikmat agung dari Tuhan. Kalau tidak ada maka hambarlah seluruh kehidupan. Yang kalau tidak ada merupakan satu kerugian yang nyata. Benarkah begitu?

Jika kita lihat dan perhatikan sekeliling kita manusia bersatu atas dasar cinta, ibubapa merotan anak-anak mereka kerana cinta, seorang kekasih cemburu buta disebabkan cinta, dan pelbagai situasi lagi akibat terkesan oleh cinta. Betapa kuasa cinta mampu mempengaruhi tindak-tanduk manusia yang kadangkala sehingga melampaui batas-batas yang disangkakan.

Namun ada juga dikalangan kita yang berbeza pandangan tentang cinta ini. Bagi mereka cinta agung hanyalah untuk Yang Maha Sempurna. Cinta inilah yang didambakan oleh mereka yang sentiasa merindui kehadiran Tuhan mereka dalam segenap kehidupan. Cinta inilah yang mampu merubah seluruh dan sepenuh kehidupan pencintanya dari satu keadaan yang negatif kepada satu evolusi kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Dan dengan cinta ini jugalah manusia mampu untuk tidak mencintai makhluk ciptaanNYA yang hanya bersifat sementara. Percayakah anda?

Hmm.. cinta ini terlalu subjektif perihalnya. Jika ditanya apa itu cinta, nescaya jawapannya tidak ada yang serupa bahkan berbeza yang nyata. Bagi saya, cinta lahir dari satu kuasa yang namanya juga cinta. Tapi apakah yang dimaksudkan dengan kuasa cinta itu? Kuasa cinta ini sudah tentulah lahir dari sesuatu sumber yang juga berkuasa. Yang mana kekuasaannya mampu menyematkan rasa cinta di dalam diri kita semua yang bergelar insan hina. Sumber apakah itu? Wujudkah kuasa cinta sehebat itu?

ALLAH S.W.T. mewujudkan manusia dan sekalian makhluk atas dasar cinta. Alam ini terbentuk oleh corakan cinta Tuhan pada hambaNYA. Alangkah agung dan mulinya cinta itu. Cinta inilah yang saya katakan sebentar tadi. Kekuasaannya mampu menerbitkan rasa cinta di dalam hati-hati kita semua yang bergelar makhluk. Namun, sejauh mana kita mensyukuri pemberianNYA yang teragung ini?

Adakalanya saya sedih apabila melihat ada dikalangan kita yang kurang mensyukuri nikmat Tuhan yang satu ini. Sudahlah tidak bersyukur, disalah guna pula. Bagi saya ini adalah bersangatan tidak wajarnya. Bagaimana yang dikatakan tidak bersyukur itu? Apakah kita dianggap bersyukur dengan setiap perbuatan kita yang salah di sisi Tuhan Yang Maha Esa? Masih adakah ruang dan peluang untuk kita lahirkan rasa syukur setelah kita hamparkan ia (syukur) dengan permaidani dosa? Fikirkanlah wahai sahabat, wahai teman..

Dunia ini hanya sementara. Masih jauh perjalanan dan liku-liku perjuangan yang bakal kita terokai kelak. Mampukah kita mengharungi kehidupan mendatang tanpa rasa cinta dari Tuhan gara-gara salah laku kita? Hargailah rasa cinta yang dikurnia sebaik-baiknya. Supaya nikmat itu tidak memusnahkan kita kembali. Jangan disebabkan nafsu cinta, kita mengenepikan hak dan cinta Yang Maha Mulia. Pandulah cinta yang dikurnia itu ke jalan mardhaatillah, bukan jalan nafsu yang durjana. Jangan korbankan cinta Tuhan hanya ber'alasan'kan mengecap nikmat cinta di dunia. Jika itu menjadi matlamat, ketahuilah sesungguhnya kita berada di dalam kerugian yang amat nyata. Nauzubillah..

Justeru saya berbekalkan kudrat yang ada, mengajak teman-teman dan sahabat semua supaya kita beringat sentiasa. Pastikan cinta ILAHI lebih utama berbanding cinta yang lain dariNYA. Penuhkan hati dengan cahaya cinta Tuhan yang tidak kunjung malap, supaya segala tingkah laku kita berada di atas landasan yang benar. Mohonlah perlindungan agar kita tidak terhijab dari cintaNYA yang luar biasa hanya kerana cinta makhluk yang sementara. Moga ALLAH menyeliputi seluruh kehidupan kita semua dengan cahaya cintaNYA yang agung dan saksama. Amiin Yaa Rabbal 'Aalamiin..

~Indahnya Cinta Tuhan Tiada Tandingan~

No comments: